mutakhir

Rafizi bersara daripada politik

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

“SAYA nyatakan dengan jelas bahawa saya tidak akan kembali ke dalam bidang politik,” kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Menerusi ciapan di Twitter, Rafizi memberi gambaran seolah-olah beliau akan ‘bersara’ dalam dunia politik dan merancang untuk menceburi bidang berkaitan kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan pembelajaran mesin.

“Saya berada dalam fasa kehidupan di mana saya perlu belajar. Hanya dengan belajar kita akan jadi lebih baik dan menyumbang lebih baik.

“Buat masa ini, saya teruja untuk memberi tumpuan kepada AI, pembelajaran mesin & IoT,” katanya.

Pada 15 November lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Rafizi daripada sabitan dan hukuman penjara 30 bulan.

Ia selepas Hakim menerima rayuan Rafizi terhadap sabitan dan hukuman berkenaan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, pada Februari tahun lalu.

Hukuman itu kerana kesalahan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank termasuk milik National Feedlot Corporation (NFC)

Beliau sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA).

Sabitan dan hukuman berkenaan menyebabkan beliau tidak dapat bertanding pada pilihan raya umum lalu.

Disiarkan pada: December 10, 2019 @ 2:05pm
d