mutakhir

Jumpa mayat tepi jalan

Oleh Nor Farhani Che Ad

LELAKI ditemui mati disyaki dibunuh di tepi jalan berdekatan Kampung Kilang Baru di Kulim hari ini.

Mayat lelaki berusia 36 tahun itu ditemui orang awam dengan kesan tetakan di kepala pada 7.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan mengiring dengan memakai baju dan ‘boxer’.

“Mangsa dipercayai dibunuh kira-kira empat jam sebelum mayatnya ditemui.

“Kita juga percaya mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dicampak ke kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kali terakhir mangsa dilihat kira-kira 9 malam tadi di sebuah kedai runcit di Paya Besar, Lunas ketika membeli minuman keras.

Menurutnya, mayat itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Sapii berkata, pihaknya masih dalam usaha mengenal pasti suspek serta motif pembunuhan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2019 @ 4:57pm
d