mutakhir

Nak bantu NGO katanya... [METROTV]

Oleh Mohd Rafi Mamat

TINDAKAN berani 11 lelaki berusia yang menjalankan aktiviti pembalakan secara haram di Kompakmen 56 Hutan Simpan Remen Chereh Tambahan di Sungai Lembing, dekat Kuantan mengundang padah apabila mereka diberkas Bahagian Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, kelmarin.

Serbuan diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa Pahang Timur Zaidi Osman kira-kira 11 malam Ahad lalu, menahan individu berusia 33 hingga 66 tahun terbabit yang sedang berehat di rumah kongsi terletak dalam kawasan hutan simpan terbabit.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) Nor Azirim Ahmad berkata, siasatan ke atas seorang individu yang bertanggungjawab menjadi perancang utama aktiviti terbabit mendakwa, permohonan lesen pembalakan sudah dibuat, namun masih belum mendapat sebarang keputusan.

Menurutnya, pihaknya kini sedang menyiasat kebenaran dakwaan individu terbabit yang menyatakan dia sudah membuat permohonan lesen pembalakan beberapa bulan lalu.

Katanya, sekiranya benar permohonan dibuat namun tidak bermakna mereka boleh melakukan sebarang aktiviti pembalakan dan berada dalam kawasan hutan simpan terbabit sebelum lesen sebenar dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

“Serbuan malam kelmarin menemui dua kenderaan pacuan empat roda, tiga lori digunakan untuk memindah kayu, lima jengkaut dan tujuh jentolak yang berada dalam kawasan hutan simpan terbabit bernilai lebih RM1.5 juta yang kini disita.

“Kita turut menyita beberapa longgok kayu balak jenis kempas, meranti dan kelat yang sedia untuk dipindahkan bernilai lebih RM100,000.

“Kita juga turut merampas lima unit mesin memotong kayu bergergaji dan menyita rumah kongsi tempat tinggal pekerja termasuk pelbagai kemudahan bagi keselesaan pekerja yang dipercayai mula berada dalam kawasan hutan terbabit pertengahan bulan lalu,” katanya, di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, individu yang menjadi dalang utama menceroboh Hutan Simpan Tambahan Remen Chereh mendakwa, sebahagian hasil pendapatan jualan balak akan disumbangkan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pahang yang menjalankan aktiviti bantuan persekolahan, gelandangan dan mangsa banjir.

Nor Azirim menegaskan, pihaknya tidak menyangka dengan kemudahan serta jumlah jentera yang begitu banyak, kegiatan terancang itu dilakukan tanpa sebarang lesen. Mereka seolah tidak bersalah melakukan aktiviti berkenaan yang mampu memberi hasil lumayan.

Katanya, jabatan tidak akan berkompromi serta tunduk dengan apa juga alasan diberikan pihak terbabit, setiap kesalahan dilakukan pasti menerima hukuman setimpal. Mereka seolah cuba mencabar undang-undang yang ada.

“Pemeriksaan yang dilakukan anggota Unit Penguatkuasa Pahang Timur dibantu Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah Kuantan/Maran/Pekan mendapati balak yang ditebang dikategorikan sebagai kayu jalan, mereka belum lagi menebang kayu di kawasan utama hutan.

“Kita akan dakwa mereka beberapa kesalahan mengikut Akta Perhutanan Negara (APB) 1984 seperti menebang balak tanpa lesen, berada dalam hutan simpan tanpa permit dan merosakkan hutan,” katanya percaya kes berkenaan yang terbesar tahun ini.

Disiarkan pada: December 11, 2019 @ 10:20am
d