mutakhir

Ops Catut 6.0 tujuh bulan

Oleh Fardy Bungga

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah melancarkan operasi penguatkuasaan Ops Catut 6.0 untuk memantau lebih 15 pemborong utama di negeri itu.

Tindakan diambil bagi menangani aktiviti pencatutan dan manipulasi harga serta memastikan tidak berlaku kenaikan harga barang susulan pelaksanaan dasar baharu kerajaan.

Pengarahnya Georgie Abas berkata, setakat ini semua syarikat pemborong sudah ditemui untuk merekod maklumat berhubung harga barang yang dibekalkan.

Katanya, belum ada sebarang salah laku dikesan dan tindakan seterusnya akan dibuat kepada peruncit untuk memastikan harga barangan di paras terkawal.

“Tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Penguatkuasaan ini di semua peringkat perniagaan, mengambil kira enam kategori barangan iaitu makanan dan minuman; isi rumah; tekstil; perabot; kasut dan barangan elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat syarikat pemborong Harisson Sdn Bhd di Kota Kinabalu, hari ini.

Georgie berkata, tempoh pelaksanaan operasi selama tujuh bulan bermula 1 Disember 2019 hingga 30 Jun 2020 dan dijalankan berfasa.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan peniaga supaya untuk tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan sebaliknya, memastikan impak dasar dinikmati golongan sasar.

“Sekiranya didapati melakukan kesalahan mencatut, pesalah boleh dikenakan didenda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kali yang kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM1 juta, bagi pertubuhan perbadanan.

“Manakala bagi perseorangan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Menurutnya, bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya pula, peniaga boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjarakan selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

KPDNHEP Sabah juga komited untuk terus melakukan penguatkuasaan dan mengenakan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menaikkan harga secara tidak munasabah.

Disiarkan pada: December 11, 2019 @ 1:23pm
d