mutakhir

Media Prima-NSTP agih bantuan banjir [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

SEBANYAK 351 keluarga terjejas banjir di Jeli dan Tanah Merah menerima sumbangan Media Prima Berhad (MPB) melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

Sumbangan bernilai keseluruhan lebih RM70,000, dengan 187 keluarga di Tanah Merah menerimanya pada majlis, hari ini.

Penyerahan disempurnakan Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan MPB Azlan Abdul Aziz dan majlis dihadiri Ketua Jajahan Tanah Merah, Mohd Anis Hussein.

Azlan berkata, setiap keluarga menerima baucer barangan bernilai RM200 hasil sumbangan pelbagai pihak menerusi tabung berkenaan.

“Penerima hari ini adalah mangsa yang terjejas akibat banjir gelombang pertama pada awal bulan lalu.

“Kita berharap ia sedikit sebanyak meringankan beban mereka dan Insya Allah, sumbangan ini akan diteruskan ke daerah lain yang turut hadapi musibah sama,” katanya ketika ditemui selepas majlis.

Sementara itu, penerima, Halimah Harun, 69, bersyukur menerima sumbangan itu yang membantunya membeli keperluan harian.

“Lagipun, banjir gelombang kedua diramal akan berlaku tidak lama lagi, jadi kami perlu bersiap sedia menghadapi musibah ini.

“Memang banyak harta benda musnah namun kami reda kerana banjir sudah menjadi lumrah alam,” katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2019 @ 2:21pm
d