mutakhir

Najib nafi SRC syarikat Perdana Menteri

Oleh Murni Wan Omar

DATUK Seri Najib Razak menafikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa penubuhan SRC International Sdn Bhd (SRC) digambarkan sebagai syarikat Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan balas, Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang membangkitkan isu keterangan salah seorang saksi ketika kes di peringkat pendakwaan.

Tommy membangkitkan keterangan Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz sebelum ini yang mendakwa syarikat itu adalah milik Najib.

Najib memberi keterangan membela diri atas tujuh pertuduhan merangkumi kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC yang dihadapinya.

TOMMY: Saksi ini memberi keterangan bahawa apa yang beliau tahu bahawa SRC adalah syarikat Perdana Menteri?

NAJIB: Saya tidak setuju

TOMMY: Itu yang beliau nampak bersama rakan sekerja lain terhadap SRC

NAJIB: Ia tidak ada kena mengena dengan saya memiliki syarikat itu.

TOMMY: Kamu tidak bersetuju dengan gambaran salah seorang pekerja di situ bahawa SRC adalah syarikat Perdana Menteri?

NAJIB: Tidak setuju.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Tommy berhubung proses pembentangan jaminan kerajaan untuk pinjaman RM2 bilion oleh SRC kepada Kabinet, Najib mengakui bahawa ia dipercepatkan.

TOMMY: Kenapa ia dibuat secara tergesa-gesa? Apa kecemasan dan keperluan untuk segera mendapatkan jaminan kerajaan terhadap pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) oleh SRC? Kenapa ia penting?

NAJIB: SRC ditubuhkan kerana terdapat keperluan dari segi negara dan disokong oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU). Oleh kerana ketika itu mereka kata terdapat peluang pelaburan, saya rasa keperluan kewangan SRC perlu diusahakan segera.

TOMMY: Adakah kelulusan jaminan kerajaan yang diperoleh SRC ini bukan mengikut amalan biasa?

NAJIB: Tidak setuju. Ia bukan perkara luar biasa.

TOMMY: Adakah jaminan kerajaan ini perlu maklum balas daripada kementerian lain?

NAJIB: Tidak perlu daripada kementerian lain kerana ia disokong Kementerian Kewangan.

TOMMY: Adakah ini sebabnya kamu menjadi Menteri Kewangan, supaya kamu boleh mengawal semua ini?

NAJIB: Tidak setuju

TOMMY: Saya cadangkan kepada kamu bahawa ia bukan amalan biasa?

NAJIB: Tidak, kamu salah.

TOMMY: Saya cadangkan kepada kamu bahawa pinjaman RM2 bilion ini diperoleh segera kerana campur tangan kamu?

NAJIB: Tidak setuju.

TOMMY: Saya cadangkan, kamu yang merangka skim pinjaman SRC ini?

NAJIB: Tidak setuju.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali masih berlangsung.

Disiarkan pada: December 11, 2019 @ 3:07pm
d