mutakhir

Amarah cinta tak direstui

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

BERANG hubungan tidak direstui, seorang lelaki bertindak membakar kereta milik keluarga teman wanitanya dengan membaling dua tong plastik minyak petrol di Kampung Cheroh, Raub, hari ini.

Kejadian jam 2 pagi itu menyebabkan Honda HRV dan Toyota Unser mengalami kerosakan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, kejadian itu disedari abang kepada teman wanita suspek selepas mendengar bunyi bising di hadapan rumah.

Katanya, berdasarkan siasatan polis, suspek yang berusia 38 tahun dikatakan menjalinkan hubungan dengan teman wanitanya yang juga ibu tunggal sejak beberapa bulan lalu.

“Bagaimanapun hubungan mereka itu tidak direstui dan berlaku perselisihan faham dengan keluarga teman wanitanya sebelum wanitanya itu bertindak keluar dari rumah dan mengikut suspek pada Sabtu lalu.

“Suspek kemudiannya pergi ke rumah keluarga kekasihnya itu semalam dan cuba mengambil tiga anak kekasihnya namun dihalang oleh abangnya,” katanya, hari ini.

Berang dengan kejadian itu, suspek bersama seorang lagi rakannya datang semula ke rumah berkenaan dan bertindak melemparkan dua tong plastik dipercayai mengandungi petrol ke arah dua kenderaan yang diletakkan di garaj rumah itu dan menyalakan api.

Katanya, kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri menggunakan Toyota Camry.

“Kita sedang giat memburu kedua-dua suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api,” katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2019 @ 5:06pm
d