mutakhir

Gajah Sungai Sator ditangkap

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

JABATAN Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan berjaya menangkap seekor gajah liar berhampiran kebun getah di Kampung Air Kayan, Jedok di Tanah Merah hari ini.

Gajah liar seberat empat tan itu ditangkap pada 10.25 pagi dipercayai daripada kumpulan gajah di Hutan Simpan Kekal Sungai Sator yang dipercayai mengganggu Kampung Air Kayan dan kampung di sekitarnya sejak awal bulan ini.

Pengarah PERHILITAN Kelantan Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, operasi menangkap gajah itu dilakukan oleh enam anggota jabatan itu menggunakan tembakan pelali.

Menurutnya, sejak menerima aduan daripada penduduk, pihaknya sudah lima kali mengadakan operasi untuk menjejaki gajah liar itu tetapi tidak berjaya.

“Sebelum ini, kami berdepan dengan beberapa kesukaran termasuk keadaan laluan berlopak disebabkan hujan sehingga menyebabkkan kesan tapak kaki gajah sukar dikesan selain kebun yang bersemak samun menjadi tempat persembunyian haiwan itu.

“Bagaimanapun, pada pagi tadi kami berjaya menangkap gajah liar ini selepas dapat menjejakinya pada 9.30 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, gajah itu akan dipindahkan ke Taman Negara Terengganu dalam masa terdekat.

“Buat masa sekarang, gajah liar ini ditempatkan di kawasan ladang getah yang jauh daripada penempatan penduduk dan pemantauan berterusan akan dilakukan dari semasa ke semasa sehingga operasi pemindahan dilakukan.

“PERHILITAN akan sentiasa memantau pergerakan gajah liar di kawasan penempatan orang awam dan akan bertindak segera sekiranya ia mengancam keselamatan penduduk,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan lebih 100 penduduk Kampung Air Kayan bimbang apabila kebun dan penempatan mereka diganggu gajah liar.

Difahamkan, seekor gajah jantan dari hutan berhampiran berkeliaran di kawasan kampung berkenaan untuk mencari makanan selain merosakkan tanaman kelapa dan pisang milik penduduk.

Disiarkan pada: December 11, 2019 @ 5:14pm
d