mutakhir

'Tergamok mung...'

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

MALANG nasib seorang ibu apabila kepalanya dipukul dengan buluh batang penyapu oleh anaknya sendiri hanya kerana dia enggan melunaskan permintaan lelaki yang mahukan wang.

Dalam kejadian pada 4.30 petang semalam, lelaki berusia 37 tahun itu meminta sejumlah wang daripada ibunya berusia 70 tahun ketika berada di rumah mereka di Seberang Takir, Kuala Nerus.

Bagaimanapun, sumber berkata, mangsa tidak mahu memenuhi kehendak lelaki berkenaan kerana anaknya itu kerap meminta wang dengannya.

Keengganan ibunya itu menyebabkan lelaki berkenaan naik angin lalu mengamuk.

“Lelaki itu berang sehingga hilang kawalan dan mengamuk serta turut memecahkan barangan dalam rumah termasuk pinggan.

“Dia kemudiannya mencapai penyapu dan memukul kepala ibunya dengan buluh batang penyapu berkenaan menyebabkan warga emas itu mengalami kesakitan di kepala,” katanya.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan diambil tindakan lanjut terhadap anaknya itu.

Susulan laporan dibuat mangsa, lelaki yang tidak bekerja itu ditahan polis di rumah berkenaan kira-kira 9 malam tadi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu dan penahanan suspek.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Disiarkan pada: December 11, 2019 @ 5:58pm
d