mutakhir

Lima individu termasuk wanita ditahan

Oleh Nor Farhani Che Ad

LIMA individu termasuk seorang wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berkaitan kes mayat seorang lelaki ditemui di tepi jalan berdekatan Kampung Kilang Baru di Kulim semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, kesemua mereka itu ditahan di rumah masing-masing sekitar daerah itu sejak malam tadi sehingga awal pagi hari ini.

Menurutnya, mereka berusia lingkungan 21 hingga 27 tahun dan siasatan mendapati seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya, pihaknya percaya kesemua mereka itu dapat membantu menyelesaikan siasatan kes pembunuhan itu.

“Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kesemua mereka itu direman seminggu bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, dilaporkan seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tetakan di kepala oleh orang awam pada 7.30 pagi.

Mangsa berusia 36 tahun itu dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dicampak di kawasan terbabit.

Berita berkaitan

Jumpa mayat tepi jalan

Disiarkan pada: December 11, 2019 @ 6:17pm
d