mutakhir

5,800 nombor telefon ditamatkan

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan syarikat telekomunikasi menamatkan perkhidmatan lebih 5,800 nombor telefon bagi tempoh enam bulan sejak Julai lalu kerana menyebarkan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) berunsur perjudian.

Dalam kenyataan hari ini, SKMM memaklumkan pihaknya akan terus melakukan pemantauan aktif bagi memastikan pengiklanan perjudian melalui SMS itu dapat dikurangkan secara konsisten.

Menurutnya, pihaknya mendapati wujud persekitaran tidak sihat dalam penggunaan SMS memandangkan ia adalah salah satu medium komunikasi di negara ini.

“Kami menerima aduan daripada pengguna yang mengadu kerap menerima mesej ‘spam’ termasuk yang mempromosikan judi secara dalam talian.

“Spam adalah mesej elektronik tidak diminta yang dihantar melalui pelbagai kaedah komunikasi, tidak terhad kepada e-mel, SMS atau perkhidmatan mesej segera yang mana tiada kaitan antara penghantar dan penerima dan tanpa mengira kandungan sama ada komersial atau bukan komersial.

“Bagi menangani isu mesej spam termasuk berkaitan SMS perjudian ini, syarikat telekomunikasi sudah mengaktifkan ciri-ciri penapis ‘anti-spam pada rangkaian mereka termasuklah ‘Keyword Blocking/Filtering’ dan ‘Threshold Blocking’,” katanya.

Katanya, sebagai contoh, jika terdapat perkataan berunsur perjudian seperti ‘jackpot’ digunakan atau terdapat penghantaran jumlah SMS tinggi dari nombor sama pada satu masa, SMS berkenaan akan disekat.

Menurut kenyataan itu lagi, SKMM turut melakukan pemantauan secara aktif berdasarkan aduan yang diterima berkenaan dengan isu mesej spam itu.

“SKMM turut mengarahkan syarikat telekomunikasi untuk menamatkan setiap nombor telefon yang dikenalpasti terbabit dalam aktiviti mesej spam untuk tujuan aktiviti perjudian ini,” katanya.

SKMM turut mengeluarkan notis peringatan di laman web dan juga media sosialnya bagi memberi peringatan dan kesedaran kepada orang ramai untuk tidak memulakan sebarang komunikasi berunsur spam.

Pelbagai tips pengguna untuk menghentikan penerimaan mesej spam turut dikongsi oleh Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CfM) melalui portal www.consumerinfo.my.

Penggunaan tidak wajar sebarang perkhidmatan aplikasi adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: December 11, 2019 @ 9:11pm
d