mutakhir

Calon WARISAN pada PRK Parlimen Kimanis

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

PEMIMPIN parti komponen Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini sebulat suara memberi laluan kepada Parti Warisan Sabah (WARISAN) meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Pemimpin utama parti komponen PH Sabah dari PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah turut menyatakan jaminan memberikan sokongan kepada calon WARISAN bagi memastikan kemenangan di kerusi berkenaan.

Perkara itu dizahirkan pemimpin utama setiap parti yang hadir pada mesyuarat Majlis Pimpinan PH Sabah dipengerusikan Pengerusi PH Sabah yang juga Pengerusi PKR Sabah dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew di Kota Kinabalu malam ini.

Antara pemimpin PH yang hadir ialah Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Masidi Manjun; Setiausaha Publisiti DAP Sabah yang juga Menteri Belia dan Sukan negeri, Phoong Jin Zhe serta Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu.

Turut hadir Naib Pengerusi PKR Sabah yang juga Pembantu Menteri Kewangan negeri, Kenny Chua; Setiausaha DAP Sabah, Tan Lee Fat; Timbalan Pengerusi PKR Sabah, Mustapha Sakmud dan Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Pemimpin yang turut hadir ialah Datuk Dr Abdul Sani Yamil (AMANAH), Datuk Maijol Mahap (BERSATU), Datuk John Ghani (PKR), Datuk Amisah Yasin (BERSATU), Loh Ee Eng (DAP) dan Peter Saili (DAP).

Christina menjelaskan persetujuan itu dicapai berdasarkan kes petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan sebelum ini yang memutuskan parti bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bertanding semula.

“Parti komponen PH Sabah akan menyokong dan memastikan kemenangan calon yang diputuskan oleh WARISAN.

“Jentera parti komponen akan digerakkan untuk membantu calon pada PRK itu nanti,” katanya.

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pada PRU-14 kerana mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya sekali gus membenarkan petisyen Karim.

Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan Anifah pada 1 Disember lalu sekali gus mengesahkan kekosongan kerusi Parlimen Kimanis.

Isnin lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dalam kenyataannya, memaklumkan bahawa Dewan Rakyat sudah menerima surat daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun mengenai kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kimanis berkuatkuasa pada 10 Disember.

Pada PRU-14, Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi selepas memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon WARISAN, Datuk Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Disiarkan pada: December 11, 2019 @ 11:26pm
    d