mutakhir

Budak menyusul bapa selepas 6 bulan

Oleh Muhamaad Razis Ismail

BUDAK lelaki yang hilang ketika memancing di kolam takungan air, Kampung Pasir Kota, Kota Bharu semalam, ditemui lemas, hari ini.

Mayat Muhamad Aqil Darwisy Mohamad Noor, 11, ditemui terapung pada 10.39 pagi oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Malah, pemergian murid tahun lima itu berlaku selepas enam bulan bapanya meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi.

Ibu Muhamad Aqil Darwisy, Hazilawati Abdul Hamid, 39, yang terkejut dengan kehilangan itu berkata, dia dimaklumkan kehilangan anaknya pada 8 malam selepas arwah tidak pulang ke rumah.

“Saya sedang bekerja sebagai jurujual di pasar raya ketika terima panggilan itu dan segera pulang, mencarinya di sekitar rumah dan kawasan terakhir dia didakwa berada.

“Malam itu juga saya cari di kolam takungan air terbabit tetapi hanya menemui selipar dan pancingnya sahaja.

“Disebabkan gagal menemuinya, maka kami hubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Hazilawati berkata, kali terakhir dia melihat arwah anak kedua daripada empat beradik adalah sebelum kejadian itu.

“Saya menghantarnya ke rumah ibu mentua dan berpesan supaya dia tidak bermain di kolam takungan air berhampiran rumah itu kerana dia tidak tahu berenang.

“Pagi itu (semalam), saya perasan arwah muram sahaja dan tidak berselera makan nasi goreng, sedangkan ia makanan kegemarannya,” katanya.

Sementara itu, Penguasa Bomba Abu Hassan Mohd Nawi dari Zon Kota Bharu berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula 9 pagi hari ini dan mengambil masa kerana mengumpul maklumat lengkap kehilangan terlebih dahulu.

“Pencarian dilakukan berdasarkan lokasi selipar dan joran yang ditemui di tebing kolam.

“Pada 10.39 pagi mayat ditemui terapung sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berita berkaitan

Budak lelaki hilang selepas memancing[METROTV]

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 1:12pm
d