mutakhir

SPRM buka semula lebih 10 kes lama

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka semula lebih sepuluh kes lama, termasuk membabitkan orang kenamaan berdasarkan maklumat dan baru yang diterima pihaknya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, pada masa ini SPRM perlu meneliti semula fail itu, sama ada kes lama berkenaan sudah ditutup atau tidak.

Katanya, banyak kes dibangkitkan kepadanya dan ada antaranya yang sudah ditutup, namun tidak pasti punca ia ditutup dan perlu diteliti semula.

“Saya terima memo demi memo mengenai kes yang dimaklumkan ‘tidak ada kes’ dan saya terima maklumat serta bukti tambahan.

“Jadi, saya perlu lihat kembali fail itu dan periksa semula sama ada ia ditutup secara baik atau sebaliknya,” katanya kepada media pada program Pendedahan Rasuah Melalui Ketelusan Pemilikan Bermanfaat di ibu negara, hari ini.

Semalam ketika ditemu bual BERNAMA, beliau berkata, SPRM akan membuka semula beberapa kes lama yang membabitkan kepentingan awam dan beliau sudah mengeluarkan satu arahan umum supaya kes berkenaan disemak semula kerana pihaknya menerima aduan berkaitan.

Beliau turut ditanya mengenai apakah kes kepentingan awam berkenaan membabitkan pemerintahan kepimpinan kerajaan terdahulu, Latheefa berkata ia membabitkan pelbagai kes dan tidak semestinya membabitkan kes pentadbiran terdahulu.

“Saya tengok dulu kalau ada bukti, saya akan tengok saksilah, tapi saya tak boleh kongsi dengan kamu (media) maklumat sebab kes ini ada kepentingan awam dan sebagainya. Jika saya kongsi, ia tidak akan membantu siasatan kami,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 3:13pm
d