mutakhir

Ahmad Hamzah kekal Ahli Parlimen jasin

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

DATUK Seri Ahmad Hamzah kekal sebagai Ahli Parlimen Jasin selepas Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini menolak rayuan petisyen difailkan calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Keputusan itu diputuskan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat selepas panel sebulat suara bersetuju bahawa Khairuddin gagal membuktikan kesnya.

“Walaupun terdapat beberapa kes ketidakpatuhan terhadap undang-undang pilihan raya, hasilnya tidak menjejaskan keputusan pilihan raya,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan Khairuddin sebagai pempetisyen membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Ahmad selaku responden pertama dan RM50,000 lagi kepada responden kedua dan ketiga iaitu Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Zamrud Yahya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Empat panel lain yang turut bersidang Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk P Nallini dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat.

Pada 12 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan kemenangan Ahmad bagi kerusi Parlimen Jasin dalam PRU14 dan pada 18 Februari lalu Mahkamah Persekutuan mengembalikan petisyen pilihan raya Parlimen Jasin yang difailkan Khairuddin ke Mahkamah Pilihan Raya untuk dibicarakan di hadapan hakim baru.

Pada Oktober tahun lalu, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen Khairuddin selepas membenarkan bantahan awal oleh Ahmad atas alasan petisyen itu sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi Melaka iaitu di mana pilihan raya diadakan bukan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada PRU14 lalu, Khairuddin kalah kepada Ahmad dengan perbezaan 219 undi dalam pertandingan tiga penjuru yang menyaksikan Ahmad mempertahankan kerusi itu selepas menerima 26,560 undi manakala Khairuddin memperoleh 26,341 undi, sementara calon PAS, Abd Alim Shapie mendapat 8,860 undi.

Khairuddin memfailkan petisyennya berdasarkan percanggahan dalam Borang 14, di mana beberapa dokumen tidak mempunyai tandatangan pegawai SPR dan yang lain mempunyai tandatangan ejen calon.

Beliau turut mendakwa kertas undi yang dikeluarkan lebih banyak daripada jumlah pengundi yang hadir membuang undi.

Sementara itu, Khairuddin yang juga penyelaras Parlimen Jasin ketika ditemui selepas prosiding berkata, beliau menghormati dan menerima keputusan mahkamah itu dengan hati terbuka.

“Kita menjunjung tinggi undang-undang seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan negara.

“Keputusan hari ini tidak mengecewakan saya langsung kerana saya akui saya pejuang dan perkataan kecewa tidak pernah wujud dalam naluri.

“Tambahan lagi, Ahmad sahabat saya, jadi kalau saya tidak dapat kerusi itu secara peruntukan undang-udang, kerusi itu masih disandang sahabat saya.

“Jadi saya tidak kisah cuma yang penting kena sama-sama jaga kawasan Parlimen Jasin dan berbakti untuk rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 5:35pm
d