mutakhir

Budak sekolah lagi dah menyamun...

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

USIA mereka baru mencecah 14 dan 15 tahun, namun empat remaja ini dikesan memecah masuk tiga rumah di Simpang Pertang, Jelebu, sebelum melarikan pelbagai barangan, termasuk selaras senapang bersama peluru.

Empat remaja yang masih bersekolah itu sudah ditahan pada 9 dan 10 Disember lalu di sekitar Simpang Pertang serta Bahau, bersama dua lagi lelaki berusia 32 dan 45 tahun yang disyaki menyimpan senapang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya juga mendapati tiga daripada remaja berkenaan positif dadah amphetamine.

“Kejadian pertama di sebuah rumah seorang lelaki berusia 78 tahun dekat Simpang Pertang pada 19 Ogos lalu. Suspek melarikan selaras senapang bersama 20 butir peluru dan buku lesen senjata api.

“Pada hari sama suspek memecah masuk sebuah rumah di kawasan sama dan melarikan wang tunai berjumlah RM1,300 serta dokumen diri.

“Manakala, dalam kejadian terbaru pada 8 Disember lalu, suspek memecah masuk sebuah rumah di Simpang Pertang sebelum melarikan wang tunai RM1,200, kad visa, dompet dan telefon bimbit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu, hari ini.

Kamarul Rizal berkata, susulan itu, pihaknya menahan tiga remaja terbabit pada 9 Disember di sekitar Simpang Pertang dan seorang lagi remaja pada 10 Disember di Kampung Gatco.

“Berdasarkan siasatan, seorang daripada suspek mengaku menyerahkan senapang yang dilarikan kepada seorang lelaki berusia 32 tahun.

“Lelaki berkenaan ditahan di sebuah rumah di Kampung Gatco 10.05 pagi Selasa lalu.

“Lelaki ini mengaku kenalannya yang berusia 45 tahun menyimpan senjata api berkenaan sebelum tangkapan seterusnya dibuat terhadap seorang lagi suspek di Mantin, Nilai, 11.50 pagi Selasa lalu,” katanya.

Katanya, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 35 Akta Senjata 1960.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 6:06pm
d