mutakhir

Asid nitrik tumpah [METROTV]

Oleh Nur Lela Zulkipli

TINDAKAN pantas pemandu lori tangki menghubungi bomba menyelamatkan orang awam daripada terkena tumpahan asid nitrik daripada tangki lori yang bocor di Jalan Meru-Klang, Klang hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pengadu yang juga pemandu lori pada 12.32 tengah hari.

Sebaik tiba di lokasi Hafisham berkata, pihaknya mendapati kira 30 peratus tumpahan bahan kimia asid nitrik daripada tangki muatan 1.4 tan itu.

“Berdasarkan maklumat daripada pengadu, asid nitrik dibawanya tertumpah selepas ada lubang di bahagian kiri tangki.

“Sebaik menyedari terdapat tumpahan, pemandu lori menghentikan lori dipandunya di bahu jalan.

“Asid nitrik yang dibawa itu mempunyai nilai kepekatan 68 peratus,” katanya hari ini.

Hafisham berkata, berikutan tumpahan bahan kimia itu, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) turut dipanggil ke lokasi.

Katanya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang dan Kapar turut membantu.

“Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan cedera akibat kejadian itu,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 8:10pm
d