mutakhir

Penjenayah ditembak polis

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEORANG penjenayah cedera terkena satu das tembakan ketika cuba melarikan diri daripada ditahan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menerima maklumat berhubung seorang lelaki yang dalam keadaan mencurigakan.

“Pada 6.30 petang, polis cuba memeriksa seorang lelaki berusia 30-an di kawasan parkir berhampiran Kem Batu Kontonmen di Jalan Ipoh.

“Bagaimanapun, selepas memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, suspek secara tiba-tiba mengundurkan kereta dalam keadaan laju dan bahaya,” katanya.

Shanmugamoorthy berkata, anggota polis bertindak melepaskan tembakan ke arah tayar kereta, namun suspek memecut laju dan melarikan diri ke arah ke jalan mati.

“Suspek sekali lagi mengundurkan kereta dan cuba merempuh anggota polis, namun polis berjaya mengelak dan terjatuh dari motosikal.

“Suspek juga merempuh sebuah kenderaan Perodua Myvi milik orang awam sebelum seorang anggota polis melepaskan tembakan ke arah suspek dan mengenai cermin hadapan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek terkena tembakan di bahagian lengan kanan.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau. Suspek juga disahkan positif dadah, kereta yang digunakan suspek adalah kereta dilaporkan hilang di Putra Heights, Subang Jaya.

“Lelaki berkenaan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan. Proses permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan pada hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2019 @ 12:31pm
d