mutakhir

Mossy Forest ditutup akibat tanah runtuh

Oleh Mohd Rafi Mamat

JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyediakan peruntukan segera sebanyak RM25,000 bagi membaiki kerosakan pada laluan pejalan kaki di Hutan Eko Rimba Mossy Forest di Cameron Highlands.

Kerosakan berlaku disebabkan kejadian tanah runtuh minggu lalu yang turut menyebabkan pokok tumbang di kawasan terbabit.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP Regina Mariah Jong berkata, disebabkan kerosakan laluan pejalan kaki itu menyebabkan pihaknya mengambil keputusan menutup Mossy Forest selama dua minggu hingga kerja membaiki selesai.

Katanya, kontraktor tempatan yang dilantik untuk membaiki kerosakan terbabit sudah memulakan kerja fasa pertama semalam dan mereka memberi jaminan menyiapkannya secepat mungkin.

Menurutnya, hakisan tanah di kawasan curam itu berlaku hingga menyebabkan tiang dua laluan pejalan kaki berlaku kerosakan dan membahayakan pengunjung.

“Saya difahamkan kontraktor yang dilantik untuk membaiki kerosakan berkenaan menggunakan cerucuk besi bagi menghalang hakisan daripada terus berlaku terutama setiap kali musim hujan.

“Kerja membaiki dua tiang turut dilakukan dengan cara membina semula tapak konkrit yang lebih kukuh dan besar supaya ia tidak mudah terhakis seterusnya menyebabkan kerosakan pada struktur binaan laluan pejalan kaki,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun ramai pelancong tempatan dan luar negara mendesak supaya Mossy Forest dibuka untuk dikunjungi namun demi keselamatan, JPNP tetap dengan keputusan menutupnya sekurang-kurangnya dua minggu.

Regina berkata, pihaknya faham pelancong amat kecewa apabila tidak dibenar memasuki kawasan pelancongan terbabit namun jabatan lebih rela dimarahi asalkan tidak berhadapan risiko lebih besar apabila kejadian buruk berlaku terutama membabitkan kecederaan serius dan kematian.

Menurutnya, jabatan turut menanggung kerugian besar apabila hasil bayaran pengunjung yang mencecah ribuan ringgit sehari tidak dapat dikutip dalam tempoh yang agak panjang.

“Saya berharap pelancong dapat terus bersabar dan lebih penting kontraktor segera membaiki kerosakan seperti dijanjikan.

“Walaupun berhadapan pelbagai cabaran untuk membaiki kerosakan terbabit namun diharapkan ia dapat berjalan lancar,” katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2019 @ 12:44pm
d