mutakhir

Mana Siti Khadijah hilang?

Oleh Safuri Kamarudin

SEORANG wanita sedang dikesan ahli keluarganya selepas tidak pulang ke rumahnya di Kampung Ulu Bakai, Baling, sejak Jumaat lalu.

Siti Khadijah Abdullah, 25, dilaporkan keluar dari rumah pada 6 Disember lalu dengan berpakaian berwarna ungu.

Kakaknya, Siti Nor Asiah Abdullah, 30, berkata, adiknya dipercayai mengikut seorang lelaki yang menunggunya di Pekan Labu Besar, Kulim.

“Khadijah turut meninggalkan sekeping nota di dalam biliknya mengatakan dia akan pulang pada Ahad lalu 8 Disember.

“Namun sehingga hari ini, dia tidak pulang ke rumah, malah cubaan menghubunginya gagal,” katanya.

Menurutnya, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Malau pada Isnin lalu berhubung kehilangan adiknya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

“Polis menerima aduan mengenai wanita berkenaan, namun tiada tindakan boleh diambil sekiranya wanita itu melarikan diri dengan kerelaan sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2019 @ 3:25pm
d