mutakhir

PM terima anugerah daripada Universiti Qatar

Oleh Anwar Hussin

TUN Dr Mahathir Mohamad menerima Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam bidang falsafah daripada Universiti Qatar, Doha hari ini.

Perdana Menteri menerima anugerah itu daripada Presiden Universiti Qatar, Dr Hassan Al Derham.

Ini adalah anugerah kedua disampaikan Universiti Qatar selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang menerimanya pada Disember 2015.

Anugerah itu diberi bagi menghargai sumbangan Dr Mahathir dalam dunia akademik dan kerjaya politiknya yang memimpin negara ke arah kemakmuran.

Dalam ucapannya selepas itu, Dr Mahathir berkata, anugerah itu akan dikenang sebagai simbol ikatan yang kuat antara Malaysia dan Qatar.

“Terima kasih kepada Universiti Qatar kerana memberi anugerah ini dan saya menghargai pengiktirafan ini.

“Saya akan terus mencuba ke tahap terbaik, untuk memberi sumbangan bagi mengukuhkan hubungan Malaysia-Qatar,” katanya.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dr Mahathir berkata, Malaysia dan Qatar berkongsi kepercayaan dan komitmen yang sama mengenai pentingnya pendidikan.

Katanya, Malaysia percaya usaha untuk mendapat ilmu adalah proses berterusan dan adalah hak bagi setiap individu untuk mempunyai akses kepadanya.

“Pendidikan akan meningkatkan keupayaan seseorang dan boleh menjadi penentu penting dalam memperbaiki kehidupan.

“Saya percaya universiti memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang dan sokongan kepada pelajar untuk menerokai pengetahuan baharu dan merealisasikan potensi mereka.

“Untuk itu, saya berharap dapat melihat lebih banyak kerjasama antara Universiti Qatar dan universiti di Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2019 @ 12:09am
d