mutakhir

Silat dimashyur

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seni mempertahankan diri silat berjaya disenaraikan di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Pengiktirafan itu diberikan pada persidangan mesyuarat sesi ke-14 Intergovernmental Committee for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage yang berlangsung di Bogota, Colombia dari 9 hingga 14 Disember.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, perkara itu diputuskan badan dunia itu yang dianggotai 24 Ahli Jawatankuasa yang bermesyuarat terdiri daripada negara anggota yang dipilih untuk mengisi kerusi jawatankuasa itu untuk tempoh enam tahun.

“Penyenaraian di peringkat Unesco itu pengiktirafan bertaraf dunia ke atas satu daripada khazanah warisan negara bagi warisan kebudayaan tidak ketara.

“Penyenaraian ini memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan dunia dan secara tidak langsung mendapat perhatian pelbagai pihak dan dunia,” katanya di sini, semalam.

Pencalonan silat di bawah senarai itu dan dokumen berkaitan sudah dihantar kepada Unesco di Paris pada 30 Mac tahun lalu dan ia mendapat kerjasama serta bantuan baik daripada pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri.

Mohamaddin berkata, pengiktirafan kali ini amat bermakna selepas Malaysia mendapat pencalonan dunia kali pertama iaitu Mak Yong dalam kategori Masterpieces of the Oral and Intangible Cultural Heritage of Humanity (Originally Proclaimed 2005) ketika persidangan sesi ke-3 jawatankuasa itu di Istanbul, Turki pada 2008.

Ia diikuti kejayaan kali kedua apabila Malaysia mendapat pengiktirafan Dondang Sayang dalam kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity ketika persidangan sesi ke-13 di Port Louis, Mauritius pada 2018.

Jelasnya, pengiktirafan itu mengukuhkan hubungan jaringan dengan kebanyakan negara anggota yang secara langsung membantu memudahkan Malaysia mengangkat lebih banyak pencalonan warisan kebudayaan tidak ketara pada masa akan datang.

Delegasi Malaysia ke persidangan itu diketuai Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mesran Mohd Yusop dan disertai Timbalan Perwakilan Tetap Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Unesco, Zuraini Abidin selain turut dihadiri Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam.

Disiarkan pada: December 14, 2019 @ 5:50am
d