mutakhir

Lengan berlubang

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Seorang penjenayah dikehendaki cedera di lengan kanan apabila terkena satu das tembakan dilepaskan polis ketika cuba melarikan diri daripada ditahan di Jalan Ipoh di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, terdahulu anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menerima maklumat berhubung seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Pada jam 6.30 petang, polis cuba memeriksa seorang lelaki berusia 30-an di kawasan parkir berhampiran Kem Batu Kentonmen di Jalan Ipoh.

“Bagaimanapun, selepas polis memperkenalkan diri suspek tiba-tiba mengundurkan kereta dalam keadaan laju dan bahaya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, anggota polis melepaskan tembakan ke arah tayar kereta namun suspek memecut dan melarikan diri ke arah ke jalan mati.

“Suspek sekali lagi mengundurkan kereta dan cuba merempuh anggota polis namun polis berjaya mengelak dan terjatuh dari motosikal.

“Suspek turut merempuh sebuah Perodua Myvi milik orang awam sebelum seorang anggota polis melepaskan tembakan ke arahnya dan mengenai cermin depan kereta jenis Mazda dipandunya,” katanya.

Katanya, pemeriksaan mendapati suspek terkena tembakan di bahagian lengan kanan.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau dan disahkan positif dadah. Kereta digunakannya juga dilaporkan hilang di Putra Heights, Subang Jaya.

“Lelaki itu dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2019 @ 6:10am
d