mutakhir

Tiga daerah di Johor dilanda banjir

Oleh Mary Victoria Dass

SERAMAI 265 mangsa banjir membabitkan 74 keluarga ditempatkan di tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah di Johor.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor berkata, daerah terjejas adalah Kota Tinggi, Mersing dan Kluang.

Menurutnya, PPS di Kota Tinggi yang dibuka adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sedili Besar yang menempatkan sembilan keluarga membabitkan 29 mangsa dari Kampung Bukit dan PPS Dewan Kampung Baru menempatkan tujuh keluarga daripada 25 mangsa dari Kampung Baru Sungai Mas.

Katanya, PPS di Mersing termasuk di SK Tenglu yang menempatkan seramai 63 mangsa daripada 16 keluarga dari Kampung Tenglu, manakala dua keluarga membabitkan sembilan mangsa dari Kampung Sri Lumpur ditempatkan di SK Mersing Kanan.

“Sebanyak 21 keluarga membabitkan 65 mangsa dari Kampung Air Papan ditempatkan di SK Air Papan selain 12 keluarga membabitkan 37 mangsa dari Kampung Air Tawar ditempatkan di SK Bandar Endau,” katanya.

Menurutnya, Kluang mencatatkan seramai 37 mangsa dari tujuh keluarga dan ditempatkan di PPS Yap Tau Sar.

“PPS Yap Tau Sar di Kluang menempatkan tujuh keluarga membabitkan 37 mangsa manakala PPS Kampung Palembang masih menjalani proses pendaftaran.

“Selain itu, Jalan Mersing-Endau dan Jalan Sungai Ara hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja.

“Jalan Tenggaroh-Kota Tinggi, tiga jalan di Kampung Tunjuk Laut dan Jalan Endau Batu 12-Rompin ditutup kepada semua kenderaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2019 @ 11:22am
d