mutakhir

KKM sedia teliti cadangan penanda aras harga ubat [METROTV]

Oleh Norzamira Che Noh

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia meneliti cadangan untuk menetapkan satu penanda aras bagi harga ubat dan bekalan farmasi pada masa hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, itu adalah cadangan yang baik dan perlu diberi perhatian bagi memastikan kos dan perbelanjaan kesihatan dibayar oleh rakyat tidak membebankan.

“Cadangan (menetapkan harga ubat dan bekalan farmasi) pastinya datang daripada pihak yang bertanggungjawab dalam memastikan kos dibayar rakyat adalah munasabah.

“Cadangan itu saya akan ambil perhatian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis berkhatan amal di Klinik Wakaf An-Nur, Masjid Nurul Iman Ijok, di Kuala Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas saranan pemain-pemain industri insurans dan takaful supaya KKM mengkaji kemungkinan menetapkan penanda aras kepada harga ubat dan bekalan farmasi memandangkan kos perbelanjaan kesihatan yang semakin meningkat.

BERNAMA sebelum ini melaporkan satu kenyataan oleh pemain-pemain industri yang mendakwa jumlah perbelanjaan kesihatan tahun lalu menjangkau RM60.147 bilion dengan 52 peratus dibiayai oleh kerajaan dan bakinya sebanyak 35 peratus dibayar oleh isi rumah sendiri, manakala insurans swasta (tujuh peratus), perbadanan (empat peratus) dan lain-lain agensi (dua peratus).

Menurut kumpulan itu juga, sekiranya kos penjagaan kesihatan tidak dikawal, peningkatan dalam premium bagi insurans perubatan dan kesihatan tidak akan dapat dielakkan lagi.

Sementara itu, seramai 80 orang kanak-kanak lelaki berusia tujuh hingga 12 tahun dari sekitar daerah itu menyertai program berkhatan amal yang diadakan di masjid berkenaan.

Program berkenaan dianjurkan secara bersama oleh Hospital Pakar KPJ Selangor, Pertubuhan Sosial Orang Kuala Selangor dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ibu kepada peserta program berkenaan, Hasmah Abdul Rahman, 39, berkata, beliau membawa dua anak lelakinya iaitu Mohd Ashraf Firdaus Azmi dan Mohd Arif Hafiz Azmi, masing-masing berusia sembilan dan tujuh tahun, berkhatan di masjid berkenaan untuk mengurangkan rasa gementar anaknya.

“Selain mengurangkan rasa gementar kerana mereka akan dikhatan beramai-ramai, ia juga percuma jadi secara tidak langsung, kami dapat berjimat.

“Mereka berdua juga tidak meragam dan ceria sepanjang perjalanan dari rumah kami di Sungai Buloh,” katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2019 @ 12:42pm
d