mutakhir

'Tahun ini semuanya baharu...'

Oleh Faliq Lajim

“INI kali pertama anak dapat merasa kelengkapan sekolah yang baharu.

“Sebelum ini, mereka hanya guna baju terpakai yang diberikan kawan apabila tiba sesi persekolahan baru.

“Alhamdulillah, tahun ini mereka dapat rasa semuanya baharu. Seronok lihat mereka tersenyum hari ini,” kata ibu kepada 12 orang anak, Fazilah Abd Rahim, 43.

Terdahulu lima anaknya iaitu Nur Iffah Insyirah Abdul Jalal, 14, Mohd Baasith Shukri, 12, Mohd Ahmad Nijad, 10, Nur Iffah Izyan, 8, dan Mohd Irsyad Rifqi, 6, menerima sumbangan kelengkapan sekolah termasuk beg, pakaian serta kasut.

Mereka antara 40 keluarga daripada golongan asnaf menerima kelengkapan sekolah sumbangan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Selangor dalam Karnival Back To School dan Jualan Harga Patut Koperasi di Pekarangan Masjid Saujana Utama di sini, semalam.

Menurut Fazilah, selain anaknya, dia dan suami turut menjaga lima lagi anak saudara yang juga golongan asnaf.

“Kami duduk 21 orang dalam rumah. Cuma anak saudara akan pulang ke rumah mereka sendiri bila tiba cuti sekolah. Suami saya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan selain berniaga kecil-kecilan di pasar malam.

“Memang hidup kami susah, namun kami sangat pentingkan pendidikan anak. Tiga anak kami kini melanjutkan pengajian di kolej,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sebanyak RM9,000 diperuntukkan bagi memberi kelengkapan sekolah kepada golongan asnaf di kawasan itu.

Disiarkan pada: December 15, 2019 @ 6:15am
d