mutakhir

Percutian keluarga bertukar tragedi

Oleh Mohd Khidir Zakaria

REMAJA lelaki Tingkatan Dua ditemui lemas di pantai berhampiran sebuah hotel di Batu 4 1/2 Jalan Pantai di Port Dickson, tengah hari ini.

Azmier Azhar, 14, dari Petaling Jaya, Selangor, dikatakan ke kawasan itu untuk mandi bersama keluarga sebelum disedari hilang.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang Mohd Kamal Mohd Timar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian lemas pada 12.30 tengah hari.

Menurutnya, dua jentera dengan kekuatan empat pegawai dan 11 anggota termasuk bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dikejarkan ke lokasi.

“Berdasarkan maklumat, seorang remaja lelaki dikatakan lemas ketika mandi di pesisir pantai berkenaan. Mangsa ke lokasi itu bersama ahli keluarganya.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa segera dilakukan di kawasan mangsa dilaporkan hilang. Mangsa berjaya ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi lemas pada 1.35 tengah hari,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Kamal berkata, pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD) dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: December 15, 2019 @ 2:07pm
d