mutakhir

Ikan lumba-lumba diselamat ditemui mati

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

KUALA TERENGGANU: Ikan lumba-lumba yang diselamatkan sekumpulan penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selepas ditemui terdampar di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus di sini, Jumaat lalu, mati di pantai berkenaan, kelmarin.

Ketua Cawangan Mamalia Marin, Bahagian Penyelidikan Penyu dan Spesies Marin Terancam, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Dungun, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, ikan lumba-lumba itu bergelut untuk berenang semula ke laut dan terpaksa melawan ombak.

“Berdasarkan saiznya, ikan lumba-lumba ini masih muda, selepas terpisah daripada ibu dan kawanannya sukar bagi hidupan ini untuknya meneruskan hidup.

“Mungkin juga ada kecederaan organ dalaman atau perut disebabkan makanan tidak boleh hadam. Kita juga boleh kaitkan dengan sakit semula jadi kerana ikan lumba lumba atau paus jika sakit dan hampir mati akan ke pesisir pantai untuk mencari tempat rehat serta mati di situ,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, bangkai ikan lumba-lumba itu akan ditanam di lokasi berhampiran mengikut prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Perikanan.

“Jika dijumpai hidup, perlu dilepaskan segera ke laut dan jika ada kesan luka atau cedera teruk, kami bawa ke FRI untuk dikuarantin serta dirawat hingga sembuh.

“Sekiranya dijumpai mati, kami akan uruskan bangkai atau karkas itu dengan baiknya. Bangkai masih segar akan dilakukan bedah siasat dan diawet untuk dipamerkan di Galeri Spesis Marin Terancam FRIRA.

“Namun sekiranya sudah reput lebih 24 hingga 48 jam, kami akan lupuskan dengan cara tanam dan tulang itu akan diambil semula dalam tempoh empat hingga enam bulan kemudian untuk diawet serta dipamerkan,” katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2019 @ 6:00am
d