mutakhir

Teksi air seludup pendatang

Oleh Mary Victoria Dass

KOTA TINGGI: Guna khidmat ‘teksi air’ dengan bayaran RM500 untuk masuk secara haram ke negara ini.

Bagaimanapun, cubaan 20 lelaki warga Indonesia digagalkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika cuba menceroboh perairan negara ini pada kedudukan 2.8 Batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop di sini, 1.30 tengah hari semalam.

Kapten Maritim Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS), Mohd Zulfadli Nayan berkata, tangkapan dilakukan anggota kapal peronda APMM di kawasan itu.

Menurutnya, anggota penguat kuasa mendapati bot berkenaan yang memiliki tanda APOLLO 03 bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati 20 lelaki warga Indonesia termasuk seorang tekong dan dua kru berusia 22 hingga 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Kastam 1967, Seksyen 474(2) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu menjalankan perkhidmatan tanpa lesen dan Seksyen 5 Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk atau keluar Malaysia melalui pintu tidak diwartakan.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 26J ATIPSOM 2007 kerana menjalankan perkhidmatan penyeludupan migran,” katanya.

Zulfadli berkata, tangkapan itu adalah langkah pencegahan kemalangan di laut serta mengurangkan kehilangan nyawa dan harta benda terutama ketika laut bergelora di musim tengkujuh.

Beliau berkata, pengusaha kapal diingatkan menggunakan perkhidmatan Marin yang ditawarkan kapal atau bot tempatan yang berpangkalan di Malaysia dan mengikut undang-undang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“APMM memandang serius kegiatan seumpama ini demi mempertingkatkan kawalan keselamatan dan tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2019 @ 6:10am
d