mutakhir

Ajal langgar pembahagi jalan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI maut akibat tersepit selepas kereta dipandunya melanggar pembahagi jalan dan terbalik di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Parlimen, di Kuala Lumpur, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.22 pagi tadi.

“Seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati sebuah kereta melanggar pembahagi jalan dan terbalik.

“Pelanggaran itu mengakibatkan pemandu kereta berkenaan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan beberapa minit kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.

“Tiada sebarang dokumen ditemui bersama mangsa dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2019 @ 8:30am
d