mutakhir

152 warga China mengaku salah

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

SERAMAI 152 warga China dan seorang lelaki Bangladesh ditahan menerusi Operasi Khas Jabatan Imigresen di Cyberjaya, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Sepang, atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa pas sah serta tinggal lebih masa.

Tertuduh berusia antara 19 hingga 34 tahun terdiri daripada 130 lelaki dan 23 wanita mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan selepas dibacakan di dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

Menerusi prosiding kali ini, semua tertuduh diasingkan kepada enam kumpulan iaitu bermula kira-kira 8 pagi dan selesai 9.30 pagi.

Pendakwaan diketuai oleh Ketua Pegawai Pendakwa, V Kasthuri Bai serta pegawai pendakwa, Suhaimi Abdullah, Asrizal Azman, Rueben Raj, Fadzil Shahabudin dan Siti Rohany Hamdin.

Pada prosiding berkenaan, seramai 102 tertuduh dikenakan hukuman denda RM5,000 setiap seorang dan jika gagal menjelaskannya, mereka diperintahkan menjalani hukuman penjara lima bulan.

Seramai 51 tertuduh pula dikenakan hukuman denda RM15,000 dan sekiranya gagal menjelaskannya, mereka diperintahkan hukuman penjara lima bulan.

Bagaimanapun, seorang daripada 51 tertuduh terbabit memohon hukuman penjara.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati memasuki dan berada di negara ini tanpa pas yang sah.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 yang mana sekiranya disabitkan boleh dihukum di bawah seksyen dari akta yang sama.

Mengikut hukuman bagi kesalahan ini, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan hendaklah bertanggungan tidak lebih daripada enam sebatan.

Untuk pertuduhan seterusnya, tertuduh didapati tanpa sebab yang munasabah tinggal lebih pada tempoh dibenarkan.

Tertuduh didakwa melanggar Seksyen 15(1)(2) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 yang mana sekiranya disabitkan boleh dihukum di bawah seksyen dari akta yang sama.

Mereka boleh dihukum denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan didakwa dilakukan pada 20 November lalu di Malaysian House Of Internet Sdn Bhd, Wisma Mustapha Kamal, Jalan Usahawan, Lingkaran Cyber Point Barat, Sepang.

Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud turut hadir pada prosiding itu untuk melihat perjalanan kes berkenaan.

Jumaat lalu, seramai 373 warga China yang ditahan pada Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia, dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan memasuki dan berada di negara ini tanpa pas sah.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, seramai 680 warga China ditahan Jabatan Imigresen dalam satu serbuan di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya.

Menerusi laporan itu, semua mereka ditahan kerana disyaki anggota sindiket penipuan pelaburan dalam talian termasuk tukaran mata wang asing.

Disiarkan pada: December 16, 2019 @ 12:26pm
d