mutakhir

19 rumah dilanda banjir kilat

Oleh Roselan Ab Malek

HUJAN lebat berterusan selama beberapa jam menyebabkan 19 kediaman di FELDA Sungai Retang, Jerantut dilanda banjir kilat pada pagi hari ini.

Bagaimanapun, kesemua 67 penduduk di situ tidak dipindahkan dalam kejadian pada 4.30 pagi itu dan hanya menunggu di rumah sementara banjir surut.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) FELDA Sungai Retan Mohd Hafizan Umar berkata, kebanyakan rumah penduduk yang terjejas dimasuki air sedalam 0.3 meter.

Menurutnya, penduduk terbabit sudah biasa dengan banjir kilat seperti itu disebabkan oleh limpahan air dari anak Sungai Pai yang terletak berhampiran dengan rumah.

Katanya, sudah dua kali penduduk hadapi banjir kilat sepanjang tahun ini.

“Sehingga tengah hari ini, air sungai sudah semakin surut dan hujan mulai reda.

“Kebanyakan penduduk yang terbabit sudah membersihkan rumah masing-masing,” katanya.

Seorang penduduk, Ramlah Saman, 70, berkata, dia bersama empat anaknya sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan apabila hujan lebat berterusan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pada tahun ini sahaja sudah dua kali rumahnya dinaiki air akibat banjir kilat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin ketika tinjauan ke lokasi meminta penduduk sentiasa berwaspada pada musim hujan dan segera berpindah ke tempat selamat jika diarahkan.

Beliau turut menyampaikan bantuan awal dan sedikit sumbangan bekalan makanan kepada mangsa terbabit yang terjejas dalam lawatan itu.

Disiarkan pada: December 16, 2019 @ 4:37pm
d