mutakhir

5 jam buka dah rosak...

Oleh Samadi Ahmad

“SANGAT mengecewakan kerana kejadian vandalisme itu berlaku hanya lima jam selepas Taman Tasik Titiwangsa dibuka kepada orang ramai,” kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Menurutnya, mungkin ada individu yang berasa bangga apabila melakukan vandalisme terhadap kemudahan awam.

“Kemudahan taman itu belum siap sepenuhnya dan masih ada satu atau dua perkhidmatan yang belum diselesaikan dan akan dibuka secara rasmi pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas menghadiri majlis Penyampaian Sijil Peserta Program Pementoran Keusahawanan Start Up dan Scale Up dan Penyampaian Sumbangan Program Jom Balik Sekolah di Putrajaya hari ini.

Hadir sama Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Aminuddin Hassim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Pada program itu, Khalid turut menyampaikan sijil tamat kursus kepada 48 peserta dan penyampaian sumbangan Jom Balik Sekolah kepada 60 pelajar inisiatif KWP dan agensi untuk Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) membantu golongan keluargà miskin (B40) yang tersenarai dalam Program e-Kasih.

Sebelum ini, media melaporkan Taman Tasik Titiwangsa yang baru dibuka semula kepada orang ramai selepas ia ditutup untuk pengubahsuaian pada 1 September 2018 didapati mengalami kerosakan.

Antara kerosakan serta kesalahan yang didakwa dilakukan pengunjung pada papan tanda, membuang sampah merata dan penggunaan basikal melalui operator yang tidak berlesen.

Khalid berkata, orang ramai yang berkunjung ke taman itu dinasihatkan supaya menjaga keindahan serta kemudahan yang disediakan supaya ia boleh dipakai untuk jangka masa yang lama.

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan pihaknya mengarahkan kawalan di taman itu ditingkatkan termasuk menambah jumlah kamera litar (CCTV) di kawasan itu bagi mencegah perbuatan vandalisme.

“Bagi yang ingin menjalankan perniagaan mereka seharusnya mengikut arahan dan datang ke pejabat DBKL bagi mendapatkan lesen agar perkara itu lebih tersusun dan mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2019 @ 5:42pm
d