mutakhir

5 sungai lepasi paras berjaga-jaga

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

HUJAN berterusan sejak malam tadi di beberapa kawasan di Terengganu menyebabkan paras air di lima sungai melepasi paras berjaga-jaga.

Ia membabitkan dua sungai di Besut serta masing-masing satu di Kemaman, Setiu dan Dungun.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, Sungai Besut di Jambatan Keruak dan Sungai Besut di Kampung La, Besut merekodkan bacaan 34.54 meter (m) dan 19.82 m sehingga 6 petang tadi.

Tiga sungai lain adalah Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu dengan bacaan 19.51 m, Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun (36.80 m) dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Kemaman (13.24 m).

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu (SJPBT) Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai terutama yang tinggal di kawasan pantai supaya sentiasa berwaspada dengan fenomena air pasang besar dan angin Monsun Timur Laut yang berlaku.

“Saya menasihati orang awam supaya tidak menjadikan fenomena ini sebagai acara pertunjukan atau pesta pada setiap malam.

“Orang awam tidak perlu beramai-ramai datang ke pantai untuk menyaksikan fenomena ini pada setiap malam kerana ia berisiko,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.

Disiarkan pada: December 16, 2019 @ 6:59pm
d