mutakhir

Belum tengok akuan bersumpah Azilah - Polis

Oleh Siraj Mohd Zaini

POLIS mahu melihat akuan bersumpah (SD) bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri yang mendakwa Datuk Seri Najib Razak terbabit kes pembunuhan warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, polis perlu mengesahkan kesahihan SD yang mengaitkan bekas Perdana Menteri itu.

“Kita belum tengok lagi SD itu, kecuali kamu (media) boleh bawa kepada kami,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan polis termasuk akan membuka kertas siasatan berhubung SD yang dibuat Azilah.

Mengulas lanjut, Huzir berkata, sebarang tindakan lanjut akan dijalankan selepas polis meneliti kesahihan SD berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan dakwaan Azilah menerusi SD yang mendakwa dia menerima arahan untuk membunuh Altantuya daripada Najib serta rakan rapatnya, Abdul Razak Baginda.

Pada 4 Jun 2007, Dr Shaariibuu Setev dan isterinya Altantsetseg Sanjaa, serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai, memfailkan saman terhadap Azilah, Sirul, Abdul Razak dan Kerajaan Malaysia, dengan menuntut pampasan RM100 juta.

Dalam tuntutan itu, keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita itu antara 19 hingga 20 Oktober 2006, didakwa dilakukan Azilah dan Sirul dengan cara menembak dan meletupkan mangsa menggunakan bahan letupan C-4, menyebabkan kejutan mental dan trauma psikologi yang membolehkan mereka menerima ganti rugi teladan dan teruk daripada keempat-empat defendan.

Berita berkaitan

'Najib arah tangkap, hapuskan Altantuya' - Azilah

Disiarkan pada: December 16, 2019 @ 7:42pm
d