mutakhir

Cef muda rangkul dua pingat

Oleh hmetro

hmetro.com.my

USIA muda tidak menghalang kanak-kanak ini merangkul pingat gangsa dalam pertandingan Kejohanan Chef Sedunia 2019 (berasaskan produk Kedah) yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti, kelmarin.

Syahzan Imran Putra Khairil Anuar Hisham, 13, berjaya merangkul dua pingat gangsa bagi kategori sajian utama ayam dan salmon termasuk Anugerah Juri sebagai peserta muda.

Katanya, dia menyertai pertandingan itu hasil galakan bapanya yang juga cef berpengalaman.

“Sebenarnya saya hanya menjadi pembantu bapa saya semasa dia membuat demonstrasi masakan tapi saya tak pernah masak.

“Saya hanya dilatih selama dua minggu. Bapa mengajar saya kendali peralatan, api dan asas masakan tertumpu pada kategori yang saya sertai,” katanya yang berasal dari Taman Bersatu, Kuala Kedah.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Mohamamed Al-Bukhary ini berkata, biarpun tidak mempunyai pengalaman memasuki pertandingan memasak, dia tetap tenang bersaing dengan peserta lebih berusia dan berpengalaman dari serata dunia.

Dia tidak menyangka diumumkan pemenang pingat gangsa bagi dua kategori terbabit dan ia menjadi suntikan semangat untuknya berjinak-jinak dalam bidang masakan.

Sementara itu, Khairil Anuar Hisham Mahmud, 42, berkata, dia akan terus memberi tunjuk ajar kepada anak sulungnya untuk mendalami ilmu kulinari dengan lebih terperinci.

Dia yang juga tenaga pengajar akademi bagaimanapun tidak akan memaksa Syahzan atau lebih mesra dipanggil Abang untuk mengikut jejaknya.

“Berlinang air mata saya semasa dia beraksi di gelanggang dapur. Tak sangka dia sangat tenang dan boleh ikut segala ilmu yang saya ajar.

“Pengalaman adalah emas buatnya dan saya harap anak saya akan mampu untuk menguasai kemahiran ini sebaik mungkin.

“Saya mahu dia mempunyai banyak kemahiran dan jika dia mahu mengejar cita-citanya sebagai jurutera selepas ini, saya akan sokong,” katanya yang berpengalaman sebagai cef selama 18 tahun.

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 6:30am
d