mutakhir

Jeritan penyelamat...

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

PELAJAR kolej terselamat selepas bahagian hadapan rumah sewanya di Taman Puncak Iskandar, Seri Iskandar, terbakar, hari ini.

Dalam kejadian pada 1 pagi itu, sebuah kereta dan tiga motosikal turut musnah.

Difahamkan, remaja lelaki berusia 19 tahun itu tinggal berseorangan dan semua rakan serumahnya sudah pulang ke kampung sempena cuti, manakala dia belum pulang kerana berkerja sambilan.

Jiran sebelah rumah mangsa, Mohd Hafizan Mohd Zain, 35, berkata, ketika kejadian, dia bersama keluarga yang sedang tidur terjaga apabila terdengar jeritan mangsa meminta tolong.

Menurutnya, tanpa berlengah, dia segera keluar dan terkejut melihat api marak sudah membakar bahagian hadapan rumah jirannya.

“Saya nampak ada api di depan rumah mangsa dan motosikal mereka juga sudah terbakar sebelum terus menghubungi bomba kerana bimbang kebakaran itu semakin merebak.

“Mangsa cuba membuka pintu untuk menyelamatkan diri tetapi api di luar sudah marak dan hampir menyambar pintu yang menyebabkan dia naik ke tingkat atas semula,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, seorang lagi jiran cuba membantu, namun tidak berjaya kerana api sudah marak dan dia bersyukur bomba yang tiba berjaya mengawal api daripada merebak serta menyelamat mangsa.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.18 pagi sebelum sepasukan anggota bomba bersama jentera digerakkan ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan bahagian hadapan rumah yang musnah terbakar 10 peratus, sebuah kereta terbakar 40 peratus dan tiga motosikal yang musnah terbakar 90 peratus.

“Bomba berjaya mengawal dan memadam sepenuhnya kebakaran itu dan turut menyelamatkan seorang mangsa dengan menggunakan tangga,” katanya.

Katanya, operasi yang diketuai Harina Abdul Wahab itu tamat pada 1.52 pagi.

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 8:51am
d