mutakhir

Banjir: Mangsa di Johor sedikit menurun

Oleh Ibrahim Isa

KEADAAN banjir di Johor bertambah baik apabila hanya 8,527 mangsa daripada 2,310 keluarga masih ditempatkan di 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), pada 9 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor berkata, keadaan itu lebih baik berbanding 8,545 mangsa daripada 2,308 keluarga, jam 8 malam tadi.

“Ketika ini, sebanyak 89 PPS masih dibuka di lapan daerah dan secara keseluruhannya ada mangsa yang pulang secara berperingkat.

“Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Segamat, Kulai, Batu Pahat, Johor Bahru dan Pontian masih terjejas dengan Muar pulih sejak semalam. Tangkak masih belum terjejas,” katanya.

Menurut sekretariat itu, Kluang kini daerah terburuk dilanda banjir dengan 28 PPS masih dibuka menempatkan 2,632 mangsa daripada 730 keluarga.

Ia diikuti Kota Tinggi (2,107 mangsa daripada 545 keluarga di 15 PPS); Segamat (1,505 mangsa daripada 406 keluarga di 27 PPS).

“Selain itu, Mersing (1,285 mangsa daripada 364 mangsa di 10 PPS), Johor Bahru (569 mangsa daripada 155 keluarga di satu PPS), Pontian (226 mangsa daripada 54 keluarga di tiga PPS).

“Kulai (100 mangsa daripada 32 keluarga di dua PPS) dan Batu Pahat (83 mangsa daripada 22 keluarga di tiga PPS),” katanya.

Sementara itu, jalan ditutup kepada semua kenderaan, katanya, adalah Kilometer (KM) 59 dan 80 Jalan Johor Bahru-Mersing; KM 42 Jalan Lok Heng-Mawai.

Selain itu, Jalan Kota Tinggi-Mersing berhampiran simpang Tunjuk Laut turut ditutup kepada semua kenderaan

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 11:29am
d