mutakhir

Orang diparol perlu diberi sokongan

Oleh BERNAMA

PENJARA Johor meraikan lapan Orang Diparol (ODP) dan Orang Diselia (ODS) bertujuan memberi sokongan kepada mereka supaya dapat menjalani kehidupan normal seperti masyarakat lain.

Seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Din, 34, menyatakan berada di penjara pada mulanya membuatkan dirinya terasing daripada keluarga dan juga kenalannya selain merasai seribu penyesalan di lubuk hatinya.

Dia yang ditempatkan di Penjara Kluang sebelum ini, melahirkan rasa bersyukur apabila disenaraikan sebagai ODP dan dibebaskan lebih awal daripada hukuman yang patut dijalaninya.

“Walaupun masih bergelar ODP, saya masih berterima kasih kepada pegawai penjara bertugas, lebih-lebih lagi mereka meraikan golongan seperti saya ini.

“Sebaik saja bebas sepenuhnya, saya berazam menjadi insan berguna dan mahu melupakan ‘sejarah hitam’ saya sebelum ini,” katanya ketika ditemui.

Din ditemui ketika Malam Apresiasi 4 (2019) Penjara Negeri Johor yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Penjara Malaysia, Komisioner Ibrisam Abdul Rahman serta Pengarah Penjara Johor Komisioner Abdul Wahab Kassim.

Dalam pada itu, seorang ODS yang diraikan, Esa, 33, berkata, dia tidak menyangka diraikan Jabatan Penjara sedangkan dia pernah melakukan kesalahan sebelum ini.

“Dengan adanya majlis seperti ini, ia membakar semangat saya untuk berkelakuan baik selepas ini dan saya sudi menjadi ‘duta’ penjara jika diperlukan dengan berkongsi pengalaman selama ditahan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata, majlis khas yang dilaksanakan untuk ODP dan ODS adalah bagi mereka rasa dihargai dan tidak disisih masyarakat.

Majlis seperti itu yang memasuki tahun keempat penganjurannya, dalam masa sama turut memberikan penghargaan kepada pegawai, anggota serta kakitangan jabatan berkenaan.

“Sebenarnya majlis ini adalah untuk menghargai ODP dan ODS yang didapati berkelakuan baik serta pada masa sama menonjolkan bakat terpendam golongan itu seperti bermain muzik dan sebagainya,” katanya.

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 12:22pm
d