mutakhir

Sampai ke situ dia panjat

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SUASANA di hadapan sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur gempar apabila lelaki warga Bangladesh dipercayai mengalami masalah mental bertindak memanjat tiang papan tanda jalan untuk membunuh diri.

Bagaimanapun dalam kejadian jam 1.15 tengah hari itu, lelaki itu diselamatkan pihak bomba yang berada di lokasi kejadian.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah Isyarurin Ishak berkata, dua jentera serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 12 anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 1.17 tengah hari.

Katanya, sebaik tiba pasukan penyelamat mendapati lelaki warga asing itu hanya memakai seluar berada di tiang dipercayai cuba membunuh diri.

“Sebaik dihampiri, lelaki itu dilihat meracau dalam bahasa yang tidak difahami kemungkinan bahasa asal negaranya.

“Bomba terpaksa memujuknya hampir satu jam sebelum dia diselamatkan serta dibawa turun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 3:39pm
d