mutakhir

Kerjaya bomba jadi pilihan

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus menggalakkan golongan wanita menyertai pasukan penyelamat terbabit.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pasukan bomba akan merekrut lebih ramai wanita untuk tugasan khusus yang memerlukan santunan golongan itu kepada mangsa.

“Kita lihat pelatih wanita mereka ada kecekapan untuk melaksanakan kerja kebombaan dan kita menggalakkan lebih ramai wanita sertai pasukan bomba kerana ada keperluan untuk berkhidmat dalam kerjaya kebombaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan, KB19 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Marang hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Pada siri satu 2019 kali ini menyaksikan 689 pelatih menamatkan latihan dengan 44 daripadanya adalah wanita berbanding siri latihan tahun lalu hanya dua pelatih wanita daripada 141 pelatih.

Sehingga kini 647 anggota dan pegawai JBPM terdiri daripada wanita dengan seorang daripadanya memegang jawatan Pengarah JBPM Kedah dan tiga lagi ketua balai.

Beliau berkata, dengan adanya jawatan tertinggi di peringkat membuat keputusan dipegang wanita menjadi tarikan kepada lebih ramai wanita menyertai karier kebombaan.

“Penyertaan wanita untuk menyertai pasukan bomba adalah terbuka namun mungkin golongan ini belum terdedah untuk menyertai kerjaya ini.

“Namun dengan adanya promosi dan juga kita kedepankan anggota wanita dapat memberi galakan kepada wanita di luar sana menyertai pasukan bomba,” katanya.

Dalam masa sama, Zuraida berkata, karier sebagai anggota bomba kini bukan lagi menjadi pilihan kedua sebaliknya pilihan utama sebagai kerjaya.

Katanya, menjadi kebanggaan apabila pelatih yang berjaya menamatkan latihan kali ini terdiri daripada hampir 100 pemegang diploma dan 30 pelatih memiliki ijazah.

“Ini sangat membanggakan kerana melihat aliran karier sebagai anggota bomba mendapat sambutan daripada pemegang ijazah dan diploma.

“Ia dapat menaiktarafkan perkhidmatan bomba kepada rakyat, masyarakat dan negara,” katanya.

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 3:52pm
d