mutakhir

Kes Altantuya: Najib dakwa Azilah terdesak

Oleh Murni Wan Omar

“INI adalah tindakan terdesak Azilah Hadri di saat akhir ketika pelaksanaan hukuman gantung ke atasnya akan dijalankan dan mahu memenjarakan anak guam saya,” kata peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, Najib mengarahkan beliau untuk mencelah dalam permohonan semakan bekas anggota Unit Tindakhas (UTK) Azilah, 43, untuk menyemak semula keputusan terhadap kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Sekurang-kurangnya kita akan memohon untuk menjadi peguam pemerhati tetapi menjadi pencelah adalah lebih sesuai.

“Kepentingan Najib adalah jelas, ini adalah kerana macam-macam dakwaan dilemparkan dalam afidavit dan permohonan yang dikemukakan oleh Azilah terhadap Najib.

“Anda tidak boleh membuat kutukan terhadap sesiapa dan mahkamah tidak boleh membuat keputusan terhadap sesiapa yang dikutuk itu tanpa melalui prosiding di mahkamah.

“Orang yang dikutuk mempunyai hak untuk menjawabnya,” katanya di Putrajaya hari ini.

Muhammad Shafee berkata, Najib menafikan semua dakwaan itu.

“Dakwaan ini buat pertama kalinya dibangkitkan selepas 10 tahun. Dakwaan ini dibuat pada saat-saat akhir Azilah akan digantung. Kami merasakan ia adalah tindakan terdesak di saat akhir.

“Kami tidak tahu siapa di belakangnya tetapi anak guam saya menjadi sasaran dan menjadi mangsa supaya dia ditangkap dan dipenjarakan tanpa sebarang jaminan,” katanya.

Beliau berkata, mereka tidak akan terkejut jika seorang lagi tertuduh yang terbabit dalam kes itu iaitu bekas Koperal Sirul Azhar Umar juga mempunyai pelan terancang.

“Saya tahu secara fakta bahawa Sirul membuat gerakan di Sydney, Australia kerana ada dua atau tiga individu yang saya kenal pergi dan memujuk dia untuk mendedahkan diri dengan perkara yang sama.

“Kami berasakan ini adalah usaha terancang. Permohonan ini berniat jahat dan orang yang di belakangnya adalah lebih jahat,” katanya.

Ditanya siapa individu tersebut, Muhammad Shafee enggan mendedahkan sebarang nama tetapi memaklumkan ia termasuk wartawan dan dua individu lagi.

“Saya tidak boleh maklumkan sekarang, ia sangat sensitif. Apa saya boleh katakan mereka adalah ejen kerajaan Malaysia. Mereka melawat Sirul di sana baru-baru ini.

“Saya tidak pasti sama ada orang yang sama ada melawat Azilah tetapi saya difahamkan ada orang melawat Azilah pada awal Februari lalu,” katanya.

Pada 13 Januari 2015, Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada Azilah selepas membenarkan rayuan pendakwaan ketika kes berlangsung.

Azilah disabit bersalah terhadap dakwaan membunuh Altantuya antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006 di kawasan hutan di Puncak Alam, Selangor.

Selain Azilah, Sirul Azhar yang turut dituduh melakukan pembunuhan itu dijatuhi hukuman sama, namun kini hidup sebagai pelarian dan lokasi terakhir diketahui berada di Pusat Tahanan Villawood, Sydney.

Semalam, Azilah membuat dakwaan mengejutkan melalui akuan bersumpah (SD) dengan mendakwa menerima arahan daripada Najib untuk membunuh Altantuya.

Azilah membuat dakwaan itu ketika sedang menanti hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Altantuya.

Memetik laporan Malaysiakini, dia yang kini berada di Penjara Kajang mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib yang ketika kejadian adalah Timbalan Perdana Menteri dan rakan rapatnya, Abdul Razak Baginda.

Dalam pengakuan itu, Azilah mendakwa dia bersama Sirul hanya mengikuti arahan ‘shoot to kill’ (tembak mati) sebagai anggota pasukan UTK.

Dia mendakwa terdapat keterangan tidak dikemukakan ketika prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Berita berkaitan

'Daddyku bukan pembunuh'

'Jalan untuk tahan, penjarakan saya' - Najib

'Najib arah tangkap, hapuskan Altantuya' - Azilah

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 3:55pm
d