mutakhir

2 jam berpaut pada pokok

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

BERPANTANG maut sebelum ajal! Seorang lelaki sempat berpaut pada sebatang pokok bagi mengelak daripada dihanyutkan arus sungai di pam pasir Sungai Triang dekat Bera hari ini.

Dalam kejadian pada 7 pagi tadi, B Raja, 27, dikatakan sedang menjala ikan di kawasan berkenaan sebelum dihanyutkan arus sungai.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan sempat berpaut pada pokok sebelum dia berjaya diselamatkan beberapa jam kemudian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.55 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang tiba bagi menyelamatkan mangsa.

“Kita terima maklumat mangsa menjala seorang diri sebelum dihanyutkan arus deras.

“Kejadian itu disedari orang awam berhampiran kawasan itu sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.

“Ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan kesejukan dan mengalami kekejangan otot selepas lebih dua jam berpaut pada pokok itu sebelum diselamatkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nor Hisham berkata, pihaknya menggunakan bot gentian kaca untuk menyelamatkan lelaki berkenaan sebelum membawanya ke tebing sungai.

Katanya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pegawai perubatan untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 6:36pm
d