mutakhir

Bukan 'suka-suka' serbu!

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

BUKAN tindakan membuta tuli sebaliknya tindakan penguatkuasaan dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap premis farmasi dan premis klinik perubatan swasta berdasarkan aduan diterima.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sepanjang tempoh 2018 hingga 2019, sejumlah 3,162 bilangan aduan diambil tindakan oleh KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) membabitkan aduan produk, pelanggaran amalan profesional dan lain-lain.

Menurutnya, KKM mengambil maklum laporan media mutakhir ini berkaitan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan terhadap premis farmasi, premis klinik perubatan swasta dan lain-lain premis di seluruh negara.

“Tindakan penguatkuasaan yang dilakukan oleh KKM melalui BPF adalah bagi kes-kes yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Racun 1952, Peraturan-peraturan Racun (Bahan-bahan Psikotropik) 1989, Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

“Sebanyak 4,169 serbuan turut dijalankan ke atas premis farmasi berlesen, klinik perubatan swasta dan lain-lain premis yang melanggar peruntukan undang-undang dalam tahun 2017 hingga 2019 (Jadual 1).

Serbuan ini membabitkan anggaran keseluruhan nilai rampasan mencecah RM 142 juta,” katanya.

Menurutnya, KKM juga menjalankan tindakan pemantauan ke atas premis farmasi berlesen, klinik swasta dan lain-lain premis melalui aktiviti pemeriksaan dilakukan.

“Dari tahun 2017 hingga 2019, sejumlah 37,418 bilangan pemeriksaan dilakukan ke atas premis farmasi berlesen, premis klinik dan lain-lain premis.

“Operasi khas ke atas bahan-bahan terkawal bahan psikotropik turut dilakukan bagi mengelakkan ia dipesong untuk tujuan yang tidak sah. Dalam tempoh itu juga sebanyak 675 operasi khas dilakukan ke atas klinik perubatan swasta dan premis farmasi,” katanya.

Beliau berkata, KKM juga menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap laman sesawang dan media sosial yang mengiklankan dan menjual produk kesihatan dilarang secara dalam talian di mana sejumlah 3,737 tindakan sekatan diambil dalam tempoh tiga tahun..

“Aktiviti pemantauan iklan perubatan di semua media cetak, media elektronik dan internet turut dipertingkat bagi memastikan pengguna tidak terpengaruh dengan tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah dibuat ke atas iklan tertentu.

“Notifikasi iklan dihantar kepada pengendali platform e-dagang. Lanjutan daripada notifikasi itu, 8,562 bilangan iklan oleh pengendali platform e-dagang telah diturunkan,” katanya.

Menurutnya, BPF juga mengambil tindakan pendakwaan ke atas kes-kes yang disiasat dan mempunyai bukti yang kukuh.

“Dari tahun 2017 hingga 2019, sebanyak 4,157 kes pendakwaan dijalankan untuk pelbagai jenis kesalahan.

“KKM sentiasa komited, proaktif dan telus dalam mengambil tindakan berlandaskan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

“Tindakan yang diambil juga adalah menyeluruh ke atas pelbagai jenis kesalahan membabitkan pelbagai jenis premis. KKM juga sentiasa memastikan dan mendahulukan kesejahteraan rakyat dalam segala tindakan yang diambil,” katanya.

Menurutnya, pihak KKM mengalu-alukan sebarang aduan daripada orang awam bagi membanteras penjualan ubat-ubat terkawal tanpa preskripsi, pelanggaran membabitkan penjualan dan pembekalan bahan-bahan psikotropik dan aktiviti pengiklanan yang melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 7:44pm
d