mutakhir

Rahsia pintu besi

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SEBUAH premis perjudian dalam talian di Bandar Sri Damansara, dekat Petaling Jaya, menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Malah, ia dilengkapi pintu besi yang hanya boleh dibuka dari dalam dan hanya pelanggan tetap dibenarkan masuk.

Selain itu, premis yang beroperasi 24 jam itu turut menjual makanan dan minuman kepada kaki judi.

Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar dalam serbuan Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, malam tadi.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, serbuan 10.30 malam oleh tiga pegawai dan 20 anggota polis selepas menerima maklumat dan risikan.

Menurutnya, seramai 18 pemain judi dalam talian dan tiga pekerja berusia 20 hingga 60 tahun ditahan dalam serbuan itu.

“Premis ini mula beroperasi sejak dua minggu lalu dan hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja yang masuk untuk bermain.

“Wang pertaruhan serendah RM50 namun kebanyakan mereka yang ditahan jarang memenanginya dan kerugian sekitar RM500 setiap kali bertaruh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi itu.

Azmi berkata, kaki judi yang ditahan itu turut membabitkan warga asing iaitu empat lelaki warga Indonesia dan dua lelaki Myanmar.

“Pekerjanya pula terdiri dua lelaki Myanmar dan seorang warga Indonesia yang dibayar upah RM1,500 sebulan.

“Premis ini beroperasi 24 jam dan siasatan mendapati mereka cuba menghidupkan semula premis perjudian ini selepas pernah diserbu awal tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas 15 komputer riba, lapan iPad dan wang tunai RM230.

“Polis memandang serius kegiatan perjudian ini dan akan menggempur habis-habis bagi mencapai sifar premis perjudian.

“Mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 9:43am
d