mutakhir

Laporan psikiatri belum lengkap... [METROTV]

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

MAHKAMAH Majistret Putrajaya menetapkan 13 Januari depan bagi sebutan semula untuk laporan kesihatan mental membabitkan seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan rakan serumahnya yang didakwa membunuh bayi.

Majistret Shah Wira Abdul Halim menetapkan tarikh berkenaan selepas dimaklumkan laporan psikiatri membabitkan tertuduh belum lengkap.

Bagaimanapun, pegawai JAKIM yang juga ibu bayi terbabit, Nor Aisyah Mohd Yunus, 37, dan rakan serumahnya, Noor Aisyah Ibrahim, 33, tidak hadir di mahkamah.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi, manakala, Nor Aisyah diwakili peguam, Najib Zakaria dan seorang lagi tertuduh diwakili peguam, Hamdan Hamzah.

Sementara itu, Hamdan ketika ditemui di luar mahkamah berkata, kedua-dua tertuduh masih ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

“Tertuduh tidak dibawa ke mahkamah hari ini kerana laporan psikiatri belum tersedia.

“Mereka masih ditahan di sana sehingga laporan itu selesai,” katanya.

Pada 15 November lalu, Harian Metro melaporkan seorang pegawai JAKIM yang juga ibu kepada bayi mangsa dera bersama rakan serumahnya didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya, atas pertuduhan membunuh bayi terbabit.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Nor Aisyah dan Noor Aisyah, yang berkhidmat Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan, selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Alfateh Hamdi berusia 23 bulan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumah di Fasa 5R4, Presint 5, Putrajaya antara pertengahan bulan September hingga 4 November lalu.

Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh bakal digantung sampai mati, sekiranya sabit kesalahan.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 11:54am
d