mutakhir

Ajal dihanyut arus banjir

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

PESARA swasta ditemui lemas di perkarangan rumahnya di Kampung Renak, Bukit Bunga, dekat Jeli, hari ini.

Mangsa, Suhaimi Ismail, 57, lemas pada 9 pagi sebelum ditemui oleh penduduk kampung, kira-kira sejam kemudian.

Mangsa dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus deras selepas rumahnya dilanda banjir. Mangsa adalah mangsa pertama banjir gelombang kedua di Kelantan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 200 meter dari rumahnya.

“Mangsa adalah seorang pesara swasta itu dipercayai cuba menyelamatkan diri kerana rumahnya ditenggelami air setinggi 1.5 meter.

“Ketika menyelamatkan diri, mangsa dibawa arus yang agak deras,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat mangsa ditempatkan sementara di Klinik Kesihatan Bukit Bunga sebelum dihantar ke Hospital Jeli.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk kampung atau mangsa banjir supaya menghubungi pihak berkuasa untuk membantu membawa mereka ke kawasan selamat atau pusat pemindahan sementara (PPS).

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 12:31pm
d