mutakhir

Cabut pagar, tunda kereta mewah [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS menahan empat individu termasuk seorang wanita yang terbabit dalam kegiatan curi kenderaan mewah di Sungai Buloh.

Suspek berusia antara 25 hingga 43 tahun ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, serbuan itu selepas menerima maklumat daripada siasatan berhubung laporan diterima oleh seorang pemilik bengkel pada 1 Disember lalu.

“Pemilik bengkel berusia 35 tahun itu memaklumkan sebuah Porsche Panamera milik pelanggannya warga Singapura yang diletakkan di rumahnya di Taman Subang Murni didapati hilang.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi mendapati kereta berkenaan ditunda sebuah trak. Menurut pengawal keselamatan di rumah berkenaan, beberapa individu memperkenalkan diri sebagai penarik kereta memaklumkan kenderaan itu mempunyai tunggakan bayaran.

“Malah, mereka bertindak mencabut pagar rumah pemilik bengkel terbabit sebelum menunda kereta berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, hari ini.

Shafa’aton berkata, hasil maklumat diterima, pihaknya menahan tiga lelaki termasuk seorang daripadanya warga Indonesia dan seorang wanita.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada penarik kereta, penganggur, pekerja kilang dan mekanik. Ada antara mereka berperanan sebagai penjaga kepada kenderaan mewah dicuri sindiket terbabit yang aktif melakukan kegiatan itu sejak Januari lalu.

“Dalam serbuan itu, kami merampas tujuh kenderaan mewah pelbagai jenis termasuk Porsche Panamera dilaporkan hilang dan sebuah trak tunda yang disembunyikan di sebuah kondominium serta bengkel di Setapak dan Sentul. Semua kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai lebih RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan ini adalah menipu pemilik kenderaan yang mempunyai tunggakan bayaran selain menceroboh kawasan rumah dengan memecahkan pagar untuk menunda kereta.

“Kereta yang ditarik sepatutnya dihantar kepada pihak bank, namun sindiket ini menyimpan kenderaan berkenaan dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Kenderaan terbabit dipercayai dijual di laman web jual beli dalam talian dengan harga antara RM30,000 hingga RM50,000 mengikut model,” katanya.

Katanya, semakan mendapati seorang daripada empat suspek yang ditahan mempunyai tujuh rekod jenayah.

“Kami sedang mengesan dua beradik yang dipercayai terbabit dengan sindiket ini iaitu L Nantha Kumar, 25, dan L Prem Kumar, 29.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kedua-dua lelaki berkenaan diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379/447 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan serta menceroboh.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 1:35pm
d