mutakhir

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei meninggal dunia

Oleh Mohd Roji Kawi

PESURUHJAYA Tinggi Malaysia ke Brunei, Ismail Salam meninggal dunia di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di Bandar Seri Begawan, hari ini.

Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya di Bandar Seri Begawan kira-kira 7 pagi sebelum dikejarkan ke hospital berkenaan.

Sumber berkata, Allahyarham yang berusia 51 tahun disahkan meninggal dunia pada 8.33 pagi.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Miri seterusnya diterbangkan ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching pada 3 petang ini.

Jenazah dijangka tiba di Kuching pada 3.55 petang, seterusnya akan dibawa ke kediaman keluarganya di No 320 , Batu 10 1/2 Jalan Matang, Kuching.

Upacara pengebumian akan dijalankan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Matang, Batu 10 , Jalan Matang.

Ismail menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai tadbir dan diplomatik di Kementerian Luar pada 1992.

Anak jati Sarawak itu pernah berkhidmat di Poland, Indonesia, Austria dan Kenya, selain menjadi setiausaha Bahagian Eropah Kementerian Luar sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Brunei pada 10 Februari lalu.

Allahyarham meninggalkan balu Rosita Ismail dan dua anak, Nur Hidayah, 23, dan Haziq, 21.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 2:51pm
d