mutakhir

Dah 2,867 mangsa banjir Kelantan

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

JUMLAH mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 2,867 mangsa daripada 930 keluarga pada 3 petang berbanding 939, 8 pagi tadi.

Kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di Jeli paling tinggi iaitu seramai 1,579 mangsa daripada 562 keluarga ditempatkan di 12 PPS.

Diikuti mangsa banjir di Tanah Merah seramai 830 orang daripada 225 keluarga di 17 PPS; Kuala Krai 230 mangsa (65 keluarga); Machang 156 mangsa daripada 50 keluarga; Pasir Puteh 57 mangsa daripada 20 keluarga dan Pasir Mas 15 mangsa daripada lapan keluarga.

Manakala, mengikut ebanjir.kelantan.gov.my, sebanyak 12 jalan ditutup termasuk kepada kenderaan ringan dan semua jenis kenderaan iaitu enam di Machang, empat di Tanah Merah dan masing-masing satu di Jeli serta Kuala Krai.

Antara jalan ditutup termasuk Jalan Bukit Mas-Bendang Nyior, Jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remah, Jalan Bukit Nangka-Jenok dan Kusial ke Kampung Paku di Tanah Merah. Manakala di Kuala Krai iaitu Jalan Sungai Durian ke Chenulang dan Machang, Jalan Kampung Pek ke Paloh Rawa dan Jalan Pangkal Gong ke Kemubu.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 3:40pm
d